Kenali Bahasa

Hiponim

Bawa

i.   mendukung  : membawa kanak-kanak kecil dengan bercelapak di pinggang

     Contoh : Kakak mendukung adik ke mana-mana sahaja kerana kakak memang sangat sayang akan adik.

ii.  menjunjung : membawa sesuatu di atas kepala

     Contoh : Nenek menjunjung bakul yang berisi padi dari sawah ke rumah.

iii.  memikul : membawa sesuatu di atas bahu

      Contoh : Badan Amir sangat sasa kerana setiap hari dia memikul bongkah batu sebagai latihan fizikal.

iv.  mengelek : membawa dengan cara mengepit di bawah ketiak.

     Contoh : Encik Munir berjalan ke kereta sambil mengelek sebuah beg kulit berwarna hitam.

v.  menjinjing : membawa sesuatu dengan tangan terjulur ke bawah

     Contoh : Mak Munah balik dari sungai sambil menjinjing sebaldi air untuk dibuat air minuman.


Ulasan Peribahasa

1.  Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

      Sesiapapun tidak menyangka bahawa Malik ialah seorang yang terlibat dalam beberapa kes rompakan.  Ketika serbuan dibuat, Malik sering berjaya melepaskan diri.  Dia mempunyai kecekapan tersendiri untuk membebaskan diri daripada kepungan polis.  Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Malik akhirnya berjaya diperangkap oleh Inspektor Halimi dalam satu serbuan di kediaman Malik yang terletak di pinggir bandar.  Sepandai-pandai Malik melepaskan diri, akhirnya dia terperangkap juga oleh kecekapan pasukan polis.

 

2.  Sekali air bah, sekali pantai berubah.

      Ketua kampung yang menerajui kepimpinan Kampung Teguh banyak membuat perubahan.  Beliau menggalakkan penduduk untuk menghiasi kawasan persekitaran kampung dengan pokok-pokok bunga.  Kini, Kampung Teguh kelihatan sangat ceria.  Hal ini tidak diberikan perhatian oleh ketua kampung yang dahulu.  Kepimpinan baharu ini benar-benar berbeza dan dapat diterima oleh penduduk dengan hati yang terbuka.



Contact

yam